Hari ni aku secara tak sengaja menonton video-video tentang kucing. Ada video kucing yang panggil tuan dia 'Mama', ada video kucing yang berkelakuan seperti anjing, ada video kucing yang membuat isyarat makan untok meminta makanan.
Aku tak pernah bela kucing sebab famili aku tak benarkan kami membela kucing. Jangn salah faham, kami sekeluarga tidak mahu kucing itu diabaikan dan dibiarkan buang air merata-rata. Sejak kecil lagi aku sukakan kucing, walaupun tak pernah bela kucing di rumah. Namun, rumah nenek aku ada kucing.
Teringat masa dahulu,setiap kali aku balik kampung, aku akan bermain dengan anak-anak kucing di rumah nenek. Mereka sangat manja, selalu tidur atas riba aku, selalu jilat tangan aku, gigit tangan aku dan kadang-kala melompat-lompat ketika aku tidak mahu melayan mereka. Apa yang menyedihkan, akhirnya anak-anak kucing ini mati kerana dimakan anjing.
Semasa di sekolah, aku pernah 'membela' kucing. Ada beberapa ekor anak kucing di belakang sekolah, aku jadikan mainan aku ketika rehat dan menunggu Abah atau Mak ambil aku. Ketika waktu rehat, aku akan makan bersama-sama kucing ini. Baru dua minggu aku membela kucing ini, suatu hari, ketika aku pergi ke belakang sekolah seperti biasa, aku lihat kucing-kucing ini sedang tidur di dalam kotak mereka. Niat aku nak mengacau mereka, aku pun angkat mereka, ketika itu aku angkat leher mereka, tiba-tiba kepala kucing ini putus!
Berguling-guling kepala kucing ini atas kaki aku. Menitis darah daripada badan mereka. Aku memeriksa kucing-kucing lain yang sedang 'tidur', memang semua kepala mereka diputuskan! Aku tak tahu kerja siapa. Memang jahanam. Aku benar-benar ketakutan, hingga lari dari tempat itu. Sejak hari itu, aku tak pernah nampak lagi kucing-kucing itu.
Sekarang, kaseh sayang aku kepada kucing sedikit terhakis. Ketika aku makan di restoran, aku paling benci bila ada kucing. Kucing-kucing ini akan meminta-minta makanan kepada aku,membuatkan aku rasa terganggu. Pernah suatu ketika, masa aku tengah syok-syok makan, tiba-tiba baru aku perasaan, ada kucing sedang menghalakan kepalanya di celah kangkang aku. Aku terkejut gila, sampai terbalik meja kedai makan tu.
Baru-baru ini, aku mendengar sebuah kuliah daripada seorang Ustaz terkemuka di negara kita. Antara intipatinya adalah,
"Hidup jangan kedekut. Maksud jangan kedekut ini, bukannya kepada manusia sahaja, tetapi kepada semua makhluk kecuali syaitan. Kamu semua pernah dengar kalau kita makan tak habis, akan ada syaitan dan jin yang makan sisa-sisa makanan tu? Ada kan? Jadi, daripada kita bagi jin dan syaitan makan sisa kita, lebih elok kalau kita bagi makan pada kucing-kucing yang meminta berlambak-lambak di kedai makan tu."
Tersentak dengan ayat tersebut. Benar apa kata-kata beliau. Daripada nak menjamu syaitan, lebih baik jamu kucing. Pahala pun dapat. Poin utama di sini selain daripada menyayangi kucing adalah, janganlah kedekut dan tamak. Harta ini tidak kekal, dan selagi kita bersedekah, duit kita takkan berkurang walau sedikit pun.
Ketika Engkau Muda, Hormatilah Orang Tua.
Ketika Engkau Senang, Mudahkanlah Orang Susah.
Ketika Engkau Kuat, Bantulah Orang Lemah.
Kerana Suatu Hari Nanti, Anda Juga Akan Menjadi Orang Tua, Orang Susah Dan Orang Lemah.




